Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Op Benteng: Tentera Darat usir 10 PATI cuba ceroboh masuk Sarawak

Op Benteng: Tentera Darat usir 10 PATI cuba ceroboh masuk Sarawak

by Nurulhuda

KUCHING, 30 Sept – Seramai 10 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia ditahan dan diusir keluar oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) ketika cuba menyelinap masuk melalui jalan tikus ke Sarawak, semalam.

Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) berkata, kesemua PATI tersebut ditangkap dalam 2 operasi berasingan di kawasan Biawak, Lundu dan di Kampung Stass, Serikin, Bau.

Menurutnya, pengusiran pertama berlaku pada jam 11.45 pagi iaitu 9 individu dipercayai PATI dikesan cuba memasuki kawasan Malaysia dari arah Indonesia.

“Sepasukan anggota yang sedang melaksanakan serang hendap di kawasan Biawak, Lundu, menahan serta menyoal siasat 9 PATI yang terdiri daripada 8 lelaki dan seorang wanita berusia antara 21 hingga 49 tahun itu,

“Hasil siasatan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, selain menyatakan tujuan memasuki Malaysia adalah kerana ingin mencari pekerjaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, pengusiran kedua pula berlaku pada hari yang sama jam 11.54 pagi di lorong tikus Kampung Stass, Serikin.

“Seorang individu dipercayai PATI dikesan cuba memasuki kawasan Malaysia dari arah Indonesia oleh sepasukan anggota yang sedang melaksanakan rondaan di kawasan berkenaan,” ujarnya.

Markas 1 Div menjelaskan, kesemua PATI tersebut ditahan dan diusir keluar dari sempadan Malaysia dan laporan polis telah dibuat untuk tindakan selanjutnya.

Pada masa yang sama, 1 Div berkata, TDM khususnya anggota yang bertugas di persempadanan Sarawak – Kalimantan Barat, sentiasa berwaspada dan beriltizam dalam mengawal keselamatan serta kedaulatan negara terutama dalam berhadapan cabaran pandemik COVID-19 ini. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply