Home Pertahanan dan Keselamatan ATM hantar anggota pengaman wanita teramai dalam sejarah MALBATT ke UNIFIL

ATM hantar anggota pengaman wanita teramai dalam sejarah MALBATT ke UNIFIL

by Natasha Azereen

SUBANG, 30 Sep – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan misi pengaman Malaysia ke Lubnan pada kali ini mempunyai keistimewaan tersendiri kerana mempunyai penglibatan anggota wanita yang paling ramai dalam sejarah penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL).

“Lebih istimewa apabila MALBATT 850-9 menampilkan jumlah anggota wanita paling ramai sejak ATM terlibat dalam misi UNIFIL iaitu 11 pegawai dan 75 anggota Lain-lain Pangkat,

“Bukan itu sahaja, kesemua anggota wanita ini akan melaksanakan misi secara berterusan selama setahun berbanding 6 bulan secara penggiliran sebelum ini,” kata Hishammuddin.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-9 di Pangkalan Udara TUDM Subang hari ini.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM; Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Kedutaan Brunei Darussalam, Pengiran Asnawi Arbi Pengiran Datuk Paduka Sharifuddin dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain.

Kumpulan pertama ini dianggotai 219 anggota diketuai oleh Komander MALBATT 850-9, Kolonel Megat Maz Ardi Nohuddin bersama 48 pegawai dan 171 anggota lain-lain pangkat (LLP) berlepas menerusi Pangkalan Udara Subang, jam 5 petang hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga berkata penglibatan ATM di peringkat antarabangsa bukan sahaja kepada tanah air, malah kepada komuniti antarabangsa. Besar harapan beliau untuk memastikan MALBATT 850-9 berupaya meneruskan kecemerlangan dan keunggulan ATM.

“Penglibatan MALBATT 850-9 dalam melaksanakan misi UNIFIL ini akan terus meletakkan ATM sebaris tentera luar seperti Itali, Ghana, Ireland dan Korea Selatan,

“Ini sekaligus membuktikan pengiktirafan berterusan PBB terhadap ATM serta menunjukkan keupayaan mereka dalam melaksanakan misi-misi pengaman di peringkat antarabangsa,

“Amanah serta tanggungjawab seluruh anggota MALBATT 850-9 adalah besar dan berat iaitu hanya insan terpilih yang mempunyai kekentalan jiwa, kemahiran tinggi, semangat jitu, tekad serta keberanian yang luar biasa,” jelasnya.

Anggota tentera wanita bergambar kenangan bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum berlepas ke Lubnan, hari ini. Foto: M Daim

Secara keseluruhan, MALBATT 850-9 adalah terdiri daripada 83 pegawai dan 771 anggota LLP. Angka ini turut mernagkumi 3 pegawai serta 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Awam Kewangan dari Kementerian Pertahanan.

MALBATT 850-9 diaturgerakkan ke Lubnan secara berperingkat melibatkan 4 peringkat penghantaran.

Kumpulan kedua, ketiga dan keempat MALBATT 850-9 dijadualkan akan berlepas secara berperingkat pada 14, 28 Oktober dan 14 November ini.

MALBATT 850-9 ditugaskan untuk menggantikan MALBATT 850-8 akan ditempatkan di dua penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah dan Kem Tibnin. Kotinjen ini akan melaksanakan tugas-tugas operasi yang diberikan oleh UNIFIL khususnya di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan.

Sebelum itu, anggota MALBATT 850-9 menjalani latihan integrasi atau Force Integration Training (FIT) selama tiga bulan di MALBATT Village, Port Dickson, Negeri Sembilan. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply