Home SemasaGlobal AUKUS akan cetus perlumbaan senjata nuklear di rantau Asia – Filipina

AUKUS akan cetus perlumbaan senjata nuklear di rantau Asia – Filipina

by M.Daim

MANILA, 29 Sept – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menyuarakan kebimbangan beliau terhadap penubuhan kerjasama trilateral di antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS) akan mencetuskan perlumbaan senjata nuklear.

Menurut jurucakap presiden, Harry Roque Jr., Duterte akan berbincang dengan kabinet Filipiuna berhubung penubuhan AUKUS.

“Beliau (Duterte) menyuarakan kebimbang akan kesan AUKUS yang boleh membawa kepada perlumbaan senjata di rantau ini,

“Presiden akan mengadakan perbincangan bersama kabinet bagi memutuskan pandangan serta pendirian Filipina terhadap AUKUS,” kata Harry dipetik oleh media Filipina.

Menurut beiau, pihak kerajaan Filipina berharap AUKUS tidak akan menggugat Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (Southeast Asia Nuclear Weapon Free Zone Treaty) yang ditandatangani pada tahun 1995.

Perjanjian itu bertujuan untuk melindungi rantau ASEAN dari sebarang penggunaan dan pembangunan senjata nuklear serta senjata pemusnah besar-besaran.

Filipina merupakan salah satu negara sekutu bukan NATO dan rakan strategik AS di Asia Tenggara.

AUKUS ditubuhkan pada pertengahan September dengan bertujuan untuk mempertingkatkan kerjasama pertahanan dan keselamatan antara ketiga-tiga negara anggota.

Selain daripada itu, AS dan UK akan membantu Australia untuk melakukan perolehan kapal selam berkuasa nuklear dan peluru berpandu kruis Tomahawk.

Perolehan kapal selam berkuasa nuklear melalui rangka kerjasama AUKUS menerima kritikan beberapa buah negara termasuk Perancis.

Selain Filipina, Malaysia dan Indonesia turut menyatakan kebimbangan mereka berhubung penubuhan kerjasama keselamatan itu yang boleh menggugat kestabilan serantau. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply