Home Pertahanan dan Keselamatan Program imunisasi jaga kebajikan warga Kementerian Pertahanan dan veteran ATM

Program imunisasi jaga kebajikan warga Kementerian Pertahanan dan veteran ATM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Kementerian Pertahanan melaksanakan program Kluster Imunisasi Warga Kerja Pertahanan bagi memelihara kebajikan warga kementerian itu termasuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, program itu merupakan satu daripada inisiatif dalam memudahkan proses mendapatkan vaksinasi kepada veteran ATM.

Beliau menjelaskan, program ini akan diurus dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Kesihatan ATM (BPK ATM) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) menggunakan kemudahan sedia ada seperti Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sangat mengambil berat situasi semasa warga kementerian sepanjang negara dilanda pandemik COVID-19, khususnya ke atas warga veteran ATM,

“Justeru, kementerian ini melancarkan beberapa program untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam usaha untuk mencapai sasaran 90 peratus penduduk mendapat vaksinasi COVID-19 sebelum akhir tahun ini,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Tambahnya, program yang akan diterajuinya itu turut berhasrat untuk memanjangkan pemberian vaksinasi kepada Veteran ATM dan keluarga termasuk anak atau cucu berumur 12 tahun ke atas.

“Bagi memudahkan proses pendaftaran semasa di PPV kepada anak atau cucu, hanya ibu bapa atau wakil perlu hadir bersama tanpa kehadiran veteran ATM itu sendiri,

“Berdasarkan rekod, seramai 76.3 peratus veteran ATM telah menerima vaksinasi manakala seramai 23.7 peratus lagi masih belum mendapat vaksinasi sehingga kini,” ujarnya.

Sementara itu, Ikmal Hisham menjelaskan, program vaksinasi ATM ini telah dirancang akan dilaksanakan kepada veteran ATM bermula 4 hingga 8 Oktober di 59 PPV yang terdapat di dalam kem tentera di seluruh negara.

“Pemakluman awal sekurang-kurangnya 3 hari sebelum pemvaksinan bagi memastikan bekalan vaksin mencukupi di setiap PPV yang dipilih,

“Veteran ATM dan keluarga mohon untuk mendaftar melalui pautan JHEV ATM https://tinyurl.com/vaksinveteranatm atau https://tinyurl.com/vaksinkeluargaveteran,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru kerjasama warga veteran ATM untuk bersama membantu usaha kerajaan membendung penularan COVID-19 dan memacu ekonomi negara kembali rancak.

“Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, boleh hubungi Pegawai Penyelaras, Mejar Hazamiah Mohd Gazali di talian 019-298 0412 atau hotline JHEV ATM di talian 03-2050 8173.,” jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply