Home Semasa 3 tema, 4 pemangkin dasar dan 14 pemacu perubahan dalam RMKe-12

3 tema, 4 pemangkin dasar dan 14 pemacu perubahan dalam RMKe-12

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Kerajaan mengariskan 3 Tema, 4 Pemangkin Dasar serta 14 Pemacu Perubahan akan dilakukan demi meningkatkan kesejahteraan dan pembangunan Keluarga Malaysia melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Pedana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tujuan pembaharuan ini bukanlah untuk menjana kekayaan negara semata-mata, sebaliknya, untuk menangani beberapa cabaran struktur ekonomi, menyediakan tenaga kerja masa hadapan dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

Di samping itu, beliau berkata, dasar ini juga bagi memastikan pelaksanaan kaedah yang lebih berkesan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Ismail Sabri berkata, 4 matlamat utama itu termasuklah pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) disasarkan pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021-2025.

Menurutnya, kerajaan juga menganggarkan purata pendapatan isi rumah sebanyak RM10,000 sebulan pada 2025.

“Jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 nisbah 2.5, manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1 nisbah 1.2 pada tahun 2025,

“Pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau Green House Gas (GHG) sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, sejajar dengan Perjanjian Paris 2015,” katanya ketika pembentangan RMKe-12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan 9 fokus utama RMKe-12 yang akan menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara.

Tambahnya, fokus pertama ialah merancakkan pertumbuhan ekonomi manakala fokus kedua memperkukuh pemangkin pertumbuhan dan ketiga ialah meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Seterusnya keempat ialah memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam, kelima membasmi kemiskinan tegar serta merapatkan jurang pendapatan,

“Manakala keenam ialah memperkasa agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia, ketujuh pula melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri kurang membangun,” ujarnya.

Selain itu, fokus kelapan kerajaan pada RMKe-12 pula adalah mempercepat pertumbuhan hijau.

Tambah beliau, akhir sekali adalah meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan pelaksanaan dasar yang berkesan.

“Insya-Allah, dengan terlaksananya pembaharuan ini pada tahun 2025, Malaysia akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik. Kita juga berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi,” tambahnya. -airtimes,my

 

Related Articles

Leave a Reply