KOK LANAS, 24 Sept – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam Peperangan Melawan Insurgensi terutamanya Operasi Hutan bersama Tentera Darat Australia (TDA) menerusi perlaksanaan Eksesais HARINGGAROO Siri 71/2021.
Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Br dalam hantaran di laman sosialnya beraka, eksesais yang dilaksanakan selama 3 hari sejak 21 September lalu merupakan kesinambungan kepada kerjasama bilateral di bawah Malaysian Australian Joint Defence Programme (MAJDP).
Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Abu Hasan Assha’ari Kamis@Shaffiee dalam ucapannya berharap agar segala ilmu pengetahuan serta pengalaman berharga yang diperolehi oleh setiap peringkat anggota sepanjang eksesais ini dapat diaplikasikan dalam penugasan.
Tambahnya, eksesais ini juga dapat meningkatkan lagi hubungan 2 hala serta jalinan persahabatan yang kukuh antara TDM dan TDA.
Menurutnya, eksesais ini telah dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2020 dalam 2 peringkat iaitu pembelajaran silang atau Cross Training Exercise (CTX) dan latihan medan atau Field Training Exercise (FTX) tetapi terpaksa ditunda ke tahun in.
“Kali ini, TDM hanya melaksanakan latihan pembelajaran silang atau Cross Training Exercise (CTX) di antara TDM yang diwakili oleh Batalion Kelima Rejimen Renjer DiRaja (5 RRD) dan TDA yang diwakili oleh tim Subject Matter Expert (SME),” katanya semasa majlis penutup eksesais di Lapangsasar Bukit Merbau, semalam. -airtimes.my