KUALA LUMPUR, 21 Sept – Premis kedai serbaneka, restoran dan stesen minyak akan dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, lanjutan tempoh operasi premis berkenaan itu terpakai kepada semua negeri dan fasa di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) kecuali di kawasan yang dikenakan Perintan Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Beliau berkata, persetujuan ini akan diangkat ke Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik esok untuk disyorkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabari Yaakob, sebelum diputuskan tarikh berkuat kuasanya.
“Mesyuarat kedua Menteri Kuartet COVID-19 turut memberi fokus kepada usaha menambahbaik prosedur operasi standard (SOP) yang telah diumumkan kepada orang ramai sebelum ini dan mempermudahkannya daripada 181 SOP kepada 10 sahaja,
“Usaha ini berjalan dengan baik sekaligus memberi keyakinan ia dapat diselesaikan seperti dirancang pada permulaan bulan Oktober,
“Penting untuk saya menjelaskan fokus Menteri-Menteri Kuartet adalah untuk membuka sektor-sektor yang terlibat secara berperingkat dan selamat. Our focus is #ReopeningSafely,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Dalam masa yang sama, Hishammuddin turut mengingatkan orang ramai agar terus berdisiplin dalam mengamalkan SOP serta mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
“Menuju ke fasa endemik tersebut, lebih banyak kelonggaran akan diberikan kepada rakyat. Sehubungan itu, saya berharap rakyat tidak leka sebaliknya kekal berdisiplin dalam mengamalkan SOP-SOP serta mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan,
“Ia harus dititikberatkan kerana sebaik sahaja kerajaan mengumumkan bermulanya fasa endemik, bermakna kita semua perlu hidup bersama virus COVID-19,” tambahnya. -airtimes
Twt: Kedai serbaneka, restoran dan stesen minyak dibenar beroperasi sehingga 12 malam. Lanjutan tempoh operasi itu terpakai kepada semua fasa di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) kecuali di kawasan PKPD.
#PKPD #PPN #COVID19 #kedaimakan #Semasa #AirTimes