Home SemasaGlobal Jet latihan terhempas: 2 juruterbang cedera, 3 buah rumah rosak

Jet latihan terhempas: 2 juruterbang cedera, 3 buah rumah rosak

by M.Daim

TEXAS, 20 Sept – Sekurang-kurangnya 3 buah rumah di Lake Worth, berhampiran Fort Worth mengalami kerosakan selepas sebuah jet latihan milik Tentera Laut Amerika Syarikat terhempas pada hari Ahad.

Jet latihan T-45C Goshawk terhempas kira-kira 11.15 pagi waktu tempatan.

Pihak Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) dalam satu kenyataan menjelaskan jet latihan tersebut sedang melakukan latihan penerbangan rutin dari Lapangan Terbang Antarabangsa Corpus Christi.

“Punca kejadian masih disiasat dan US Navy sedang berkerjasama dengan pihak berkuasa tempatan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, pihak berkuasa Texas menyatakan kedua-dua juruterbang pesawat malang terbabit mengalami kecederaan tetapi stabil.

Asap dari kawasan jet latihan T-45C Goshawk milik US Navy terhempas di Lake Worth.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan di kalangan penduduk.

“Payung terjun salah seorang juruterbang telah sangkut di kabel elektrik semasa melepaskan diri. Juruterbang pelatih berjaya ditemui di kawasan kejiranan,” lapor media tempatan Fort Worth.

Kedua-dua juruterbang terbabit telah dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan lanjut.

T-45 Goshawk merupakan salah satu varian jet latihan BAE Hawk yang dihasilkan secara bersama oleh McDonnell Douglas (kini Boeing) dan British Aerospace (kini BAE Systems).

Jet pejuang ini digunakan oleh US Navy sebagai jet latihan dan berupaya dioperasikan pada kapal pengangkut pesawat.– airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply