Tahun 2021 merupakan tahun kedua dunia menghadapi ancaman wabak pandemik COVID-19. Walaupun mula mendekati fasa endemik, negara masih lagi tidak terlepas dari ancaman wabak ini. Pun begitu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus memainkan peranannya untuk membantu negara dalam menghadapi wabak ini.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menyatakan ATM telah memainkan pelbagai peranan dalam menangani penularan wabak ini dalam negara.
“ATM secara amnya telah memberi kerjasama dan bantuan kepada semua bentuk medium yang dimohon oleh agensi berwajib seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam mengekang penularan wabak COVID-19,
“Bantuan yang disalurkan tidak terhad kepada bantuan anggota malahan melibatkan aset-aset seperti kenderaan pengangkut, pesawat udara, peralatan rawatan, ubat-ubatan dan juga khidmat nasihat teknikal,” katanya semasa Wawancara Khas Sempena Hari ATM ke-88.
Beliau menambah, ATM telah menghadapi pelbagai cabaran tersendiri.
“Banyak cabaran-cabaran yang dihadapi dari segi penetapan SOP dan masa untuk menyediakan infrastruktur.
“Cabaran ini telah berjaya diatasi hasil dari kerja keras dan penggemblengan tenaga serta komitmen semua peringkat anggota ATM dalam menjayakan misi yang ditetapkan,” ujar beliau.
Memperkuatkan moral anggota ATM sebagai frontliner
Moral atau semangat merupakan pendorong kepada seseorang anggota mahupun pasukan untuk melaksanakan tugas mereka dengan lebih baik. Tambahan pula, sepanjang COVID-19 melanda negara, rakyat telah melihat sendiri keluhan-keluhan para petugas barisan hadapan yang berterusan menabur bakti demi rakyat.
“Mereka telah mendepani beberapa operasi dalam usaha kita untuk membantu pihak KKM dan agensi-agensi lain dalam kita untuk membanteras COVID-19.
“Malah, mereka terdedah dengan pelbagai risiko termasuk untuk dijangkiti oleh COVID-19,” kata Affendi.
Beliau menambah, penjagaan kesihatan para anggota tentera yang bertugas sebagai frontliner turut diberikan perhatian bagi memastikan mereka mampu untuk menjalankan tugas dengan baik.
Malah, semangat para anggota tentera turut dinaikkan dengan pendedahan kisah-kisah kejayaan mereka semasa melaksanakan tugas.
“Berdasarkan rekod dan statistik, kebarangkalian anggota yang bertugas sebagai frontliner adalah untuk dijangkiti adalah kecil,” ujarnya.
Inisiatif tersendiri
Menurut Panglima Angkatan Tentera, pelbagai langkah dan inisiatif telah diambil oleh setiap peringkat dalam ATM bagi memastikan anggota tentera terselamat dari ancaman wabak ini.
Tambahnya, antara langkah yang diambil adalah pelaksanaan SOP yang ketat kepada anggota yang bertugas bagi mengurangkan risiko jangkitan di kalangan mereka serta keluarga.
“Mereka akan memakai pakaian lain semasa melaksanakan tugas di lapangan. Sebelum kembali, mereka dikehendaki menukar pakaian dengan baju baharu,
“Ini adalah antara usaha memastikan para anggota tentera tidak terkesan dengan wabak COVID-19.
Operasi ketenteraaan semasa aman
Menurut Affendi, peranan ATM semasa negara menghadapi ancaman wabak COVID-19 merupakan salah satu jujukan operasi pasukan pertahanan itu semasa negara aman.
“Peranan sekunder dalam Military Operations Other Than War (MOOTW) untuk membantu pihak berkuasa awam kekal menjadi salah satu peranan ketika negara aman selagi mana khidmat serta kepakaran ATM diperlukan,
“Peranan utama ATM selaku Nation’s Shield adalah melindungi kepentingan negara, mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah daripada ancaman daratan, maritim, udara dan siber elektromagnetik,
“ATM turut memberikan sokongan kepada usaha keamanan sejagat melalui panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),”
Menurut beliau, ATM terus mengekalkan postur pertahanan sejajar dengan Dasar Pertahanan Negara dan Kertas Putih Pertahanan bagi memastikan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur. – airtimes.my
Bersambung….
Ikuti sambungan siri artikel wawancara khas Panglima Angkatan Tentera di portal Air Times pada tengah hari esok.