Home Politik Dakwaan Panglima tiada diskriminasi kaum dalam pengambilan rekrut tentera adalah bohong – Ramasamy

Dakwaan Panglima tiada diskriminasi kaum dalam pengambilan rekrut tentera adalah bohong – Ramasamy

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof. Dr. P.Ramasamy mendakwa kenyataan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM bahawa tiada diskriminasi kaum dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah tidak benar.

“Saya berpendapat bahawa Panglima Angkatan Tentera hidup dalam dunia fiksyen. Beliau mungkin ada masalah untuk membezakan mana realiti atau tidak,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Perai di akaun media sosial beliau.

Beliau menegaskan, kenyataan mengatakan ATM menolak perkauman adalah satu jenaka.

“Panglima sepatutnya jujur dengan mengatakan ATM merupakan kubu kuat ketuanan Melayu di mana ia perlu dikuasai oleh orang Melayu,  pada pelbagai peringkat dan pangkat,

“Mereka yang mengetuai tentera darat, tentera laut dan tentera udara merupakan orang Melayu. Berapa ramai orang bukan Melayu berada dalam turus tinggi Angkatan Tentera?” ujarnya.

Beliau mendakwa, proses dan cara pengambilan rekrut tentera telah diketahui secara umum.

“Ini hanyalah perluasan dari pendirian politik yang lebih besar yang berdasarkan pada tiang bangsa dan agama,

“Dasar pengambilan rekrut dalam pasukan tentera adalah sama seperti dengan perkhidmatan awam, ia ditentukan oleh pemerintah yang berkuasa,” tegasnya.

Ramasamy turut menjelaskan negara dikuasai oleh parti yang didominasi oleh kaum Melayu di mana proses pengambilan pekerja baharu dalam perkhidmatan awam serta agensi adalah tertumpu kepada satu kaum sahaja.

“Keperluan untuk mengambil orang Melayu jauh lebih menonjol daripada daripada jabatan kerajaan lain dengan alasan bahawa pasukan tentera dipandang oleh pemerintah sebagai pelindung kepentingan orang Melayu di negara ini,

“Panglima Angkatan Tentera dan yang lain tidak perlu untuk menafikan bahawa pengambilan anggota tentera tidak mempunyai sentimen perkauman,

“Ia memang bersifat perkauman dan sangat politik. Mengapa menafikan sesuatu yang begitu jelas dan terang-terangan?” soal beliau.

Pada masa yang sama, Ramasamy menegaskan beliau tidak bersetuju pengambilan pekerja baharu dalam jabatan kerajaan atau rekrut dalam pasukan tentera perlu dilakukan atas dasar kaum serta agama.

“Peningkatan pengambilan pekerja baharu dikalangan orang Melayu dalam agensi kerajaan negeri dan persekutuan merupakan salah satu cara untuk mensisihkan masyarakat bukan Melayu,” ujarnya.

Selain daripada itu, Ramasamy menafikan bahawa beliau menyatakan berlaku ketegangan kaum dalam ATM.

“Ini tidak benar. Hakikatnya terdapat persahabatan dikalangan anggota tentera, tanpa mengira kaum atau agama,

“Saya rasa Panglima Angkatan Tentera keliru antara penyisihan kaum secara sistematik dengan hubungan baik antara Melayu dan bukan Melayu secara harian,” katanya.

Kenyataan Ramasamy turut disiarkan oleh portal berita tempatan berbahasa Inggeris. – airtimes.my

 

GALERI GAMBAR:

Related Articles

Leave a Reply