Home Pertahanan dan Keselamatan AUKUS: Australia akan hantar wakil beri penjelasan – Wisma Putra

AUKUS: Australia akan hantar wakil beri penjelasan – Wisma Putra

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 19 Sept – Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menyatakan Australia akan menghantar wakil mereka ke Malaysia bagi memberikan penjelasan mengenai penubuhan AUKUS.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, penghantaran kumpulan tersebut adalah antara perkara yang dibincangkan dengan rakan sejawatnnya di Australia, Senator Marise Payne.

“Baru-baru ini saya telah menerima panggilan telefon daripada rakan sejawat saya dari Australia, Senator Marise Payne,

“Beliau turut memberi penerangan tentang AUKUS dan saya bersetuju dengan cadangan beliau mengenai penghantaran pegawai-pegawai dari Australia ke Malaysia bagi memberi penjelasan dan pemahaman lebih lanjut mengenai perkara ini,” kata Saifuddin.

Menurut kenyataan itu, Menteri Luar menegaskan pendirian Malaysia tetap berpendirian teguh dalam mempertahankan keamanan dan keselamatan antarabangsa di rantau Indo-Pasifik seperti mana yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

“Ini termasuk isu-isu yang berkaitan dengan perlucutan senjata nuklear, dan penggunaan teknologi nuklear secara aman,

“Pendirian ini telah dibincangkan dan dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu,” jelas Saifuddin.

AUKUS ditubuhkan pada 16 September lalu oleh Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Melalui penubuhan ini, Australia akan menerima sekurang-kurangnya 8 buah kapal selam berkuasa nuklear bagi kegunaan tentera laut negara itu. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply