Home Semasa MOU rentas parti pendekatan bersejarah, harap kemelut politik berakhir – Agong

MOU rentas parti pendekatan bersejarah, harap kemelut politik berakhir – Agong

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa bersyukur dan sukacita dengan pendekatan bersejarah kerjasama rentas parti yang telah dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MOU) Transformasi serta Kestabilan Politik pada Isnin lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin dalam satu kenyataan hari ini berkata, Baginda menzahirkan harapan agar MOU yang dilaksanakan ini dapat mengakhiri kemelut politik dengan segera dan Ahli Dewan Rakyat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati serta bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

Menurutnya, Baginda sekali lagi mengulangi pandangan agar rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan serta kelembapan ekonomi akibat wabak ini.

Sehubungan itu, Baginda menasihati Ahli Dewan Rakyat supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung.

“Al-Sultan Abdullah turut menasihati Ahli Dewan Rakyat supaya mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara.

“Baginda turut menzahirkan keyakinan bahawa selari dengan kestabilan politik dan peningkatan kadar vaksinasi penduduk serta bantuan tambahan oleh kerajaan, proses pemulihan ekonomi negara dapat dipercepat,

“Bahkan, faktor-faktor tersebut juga ialah kunci keyakinan semua pihak yang berkaitan dan para pelabur,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, Baginda turut menegaskan kerajaan agar mempercepatkan penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan bagi meningkatkan lagi daya saing negara.

“Seri Paduka Baginda mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat menzahirkan solidariti dan sokongan padu kepada para petugas barisan hadapan dengan bersama berganding bahu berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) serta semua perintah yang telah ditetapkan kerajaan,

“Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah Subhanahu Wata’ala, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!