Home SemasaGlobal COVID-19: China tutup bandar di wilayah Fujian serta merta

COVID-19: China tutup bandar di wilayah Fujian serta merta

by M.Daim

BEIJING, 15 Sept – Kerajaan China bertindak menutup sebuah bandar wilayah Fujian berikutan peningkatan secara mendadak kes COVID-19 semenjak Jumaat lalu.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan China, Fujian merekodkan sebanyak 152 kes dalam masa 5 hari.

Sekatan jalan raya turut didirikan di sekeliling wilayah Putian.

“Kawalan jangkitan penyakit yang ketat dilaksanakan di bandar itu bagi mengelakkan penularan yang lebih besar,” lapor media China, Global Times.

Sebarang aktiviti melibatkan orang ramai bandar yang terkenal sebagai pengeluar kasut itu telah ditegah oleh pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, kawasan tarikan pelancong telah ditutup serta merta. Sebarang aktiviti berkumpul seperti perkahwinan tidak dibenarkan.

“Aktiviti dua cuti umum di wilayah itu turut dibatalkan,” katanya.

Sehingga tengah malam Rabu, sebanyak 99 kes jangkitan dan 5 kes asimptomatik (tanpa simptom) dicatatkan di Putian.

Sementara itu, langkah mengekang penularan penyakit turut dilaksanakan di beberapa bandar lain di wilayah Fujian.

Ibu kota Fujian, Fuzhou telah mengantung aktiviti pendidikan di sekolah dan tadika.

Bandar Zhangzhou telah mengarahkan pelajar sekolah rendah untuk memulakan kelas mereka secara talian mulai hari ini sehingga 21 September.

Bandar Xiamen dan Quanzhou turut memperketatkan perjalanan sebagai langkah membendung penularan COVID-19 varian Delta di wilayah Fujian.

Peningkatan kes jangkitan di Putian dilaporkan bermula dengan 2 kes penularan iaitu melibatkan sekolah rendah dan kilang kasut. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply