Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tentera Darat tubuh 8 RAD secara Ad Hoc, pertingkat keupayaan tempur artileri

Tentera Darat tubuh 8 RAD secara Ad Hoc, pertingkat keupayaan tempur artileri

by Nurulhuda

SUNGAI BESI, 8 Sept – Tentera Darat Malaysia (TDM) menubuhkan Rejimen Kelapan Artileri Diraja (8 RAD) secara Ad Hoc bagi mempertingkatkan keupayaan tempur artileri serta berkemampuan beroperasi di 2 wilayah secara serentak.

Perasmian penubuhan pasukan baharu ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, di ruang legar Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, pada Rabu.

TDM menerusi hantaran di media sosialnya berkata, penubuhan 8 RAD Ad Hoc ini, dilaksanakan seiring dengan penjajaran semula unit-unit TDM berdasarkan kepada Pelan Pembangunan Keupayaan Strategik TD (Army 4NextG).

“Ia bertujuan mempertingkatkan keupayaan bantuan tembakan artileri kepada kedua-dua wilayah secara serentak dengan lebih efektif dan efisien,

“8 RAD Ad Hoc, yang akan ditempatkan di Kem Penrissen Lama Kuching, Sarawak, merupakan usaha awal kepada penambahan unit-unit RAD di wilayah Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD),” jelas TDM.

Markas 8 RAD Ad Hoc yang diketuai oleh Pegawai Memerintah, Leftenan Kolonel Jamaluddin Ahamad Tajudin, bersama-sama 4 pegawai dan 9 anggota ini akan meneruskan usaha ke arah pengoperasian 8 RAD yang lengkap di bawah PMTTD.

Menurut TDM, penubuhan unit baharu sebegini adalah menepati Tonggak Pertama Perintah Ulung PTD Ke-28, iaitu ‘Kelangsungan Misi dan Kesiagaan’, yang memberikan penekanan kepada peningkatan keupayaan tempur serta berkemampuan beroperasi di dua wilayah secara serentak. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply