Home Pertahanan dan Keselamatan 944 pesakit COVID-19 terima rawatan di Hospital Medan HAS

944 pesakit COVID-19 terima rawatan di Hospital Medan HAS

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 7 Sept – Seramai 944 pesakit COVID-19 telah menerima rawatan di Hospital Medan Hospital Sultanah Aminah (HAS) sejak hari pertama beroperasi pada 21 Jun lalu sehingga semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 877 orang telah sembuh sekaligus dibenarkan pulang, manakala selebihnya masih dirawat di hospital berkenaan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi hantaran di media sosialnya hari ini berkata, usaha sama diantara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini akan terus diperkukuh demi menyelamatkan nyawa rakyat yang terkesan akibat wabak COVID-19.

“Hari ini masuk hari ke-79 Hospital Medan ATM beroperasi di Hospital Sultanah Aminah dengan kapasiti 80 katil biasa dan 4 katil ICU sejak dibuka pada 21 Jun 2021,

“Alhamdulillah, dengan kepakaran pasukan perubatan ATM, seramai 944 pesakit COVID-19 telah menerima rawatan di Hospital Medan ini yang mana 877 telah sembuh sekaligus dibenarkan pulang,

“Saya amat bangga dan hargai kesungguhan anggota-anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) khususnya dari Kor Kesihatan Diraja (KKD) yang sentiasa sanggup merisikokan diri serta bertugas sebilang masa demi membantu pasukan KKM perangi COVID19,

“Semestinya usahasama ATM-KKM ini akan terus diperkukuh. Saya telah sebut baru-baru ini bahawa Hospital Medan akan segera ditambah di negeri-negeri yang memerlukan,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Hishammuddin turut menjelaskan pihaknya kini sedang menunggu pengesahan dari KKM untuk menambah dan membina hospital medan ATM bagi membantu hospital yang memerlukan.

Hospital Medan ATM diwujudkan di HAS ini susulan situasi COVID-19 di Johor yang meruncing selain kapasiti pesakit yang meningkat di semua hospital dan daerah berhampiran.

Pengoperasian hospital medan ini melibatkan seorang komander dibantu 3 pegawai dan 30 anggota perubatan ATM.

Sebelum ini, ATM telah membuka hospital Medan di 5 lokasi lain iaitu di MAEPS Serdang, Selangor; Kompleks Sukan Tawau, Sabah; Penjara Pokok Sena, Kedah; Hospital Kapit, Sarawak dan di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply