Home Semasa Lantik Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN: Kegagalan yang diteruskan – PEJUANG

Lantik Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN: Kegagalan yang diteruskan – PEJUANG

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) menyifatkan pelantikan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri adalah tindakan strategi politik semata-mata.

Ketua Penerangannya, Ulya Husamudin berkata, tindakan itu adalah semata-mata bagi mengukuhkan kedudukan menjelang sidang parlimen akan datang dan semestinya bukan demi kemaslahatan rakyat.

Menurutnya, Muhyiddin gagal sebelum ini sebagai Perdana Menteri ketika mengawal wabak COVID-19 sehingga kes harian meningkat berkali ganda daripada jumlah kes ketika beliau mengangkat sumpah.

“Jumlah kes pada 29 Feb 2020 hanyalah sebanyak 25 kes, manakala kes kumulatif sepanjang pentadbiran beliau mencecah 250 ribu kes dengan 12 ribu kematian,

“Rakyat rata-rata telah menzahirkan kemarahan mereka sehingga melabel pentadbiran Muhyiddin sebagai #KerajaanGagal ekoran belasan ribu keluarga kehilangan orang tersayang dan ratusan ribu sengsara sehingga terpaksa mengibarkan bendera putih,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Ulya turut menjelaskan, rakyat tentu mempersoalkan pelantikan Muhyiddin terhadap jawatan tersebut sedangkan mereka mengharapkan hasil yang berbeza.

“Atas prestasi yang buruk ini, tentu ramai yang tertanya-tanya apa pertimbangan yang dibuat untuk melantik Tan Sri Mahiaddin? Kita tidak boleh melakukan sesuatu yang sama dengan mengharapkan hasil yang berbeza,

“Persoalan penting yang perlu dinyatakan ialah mengapa perlu pelantikan bertaraf Menteri? Pengerusi MPN ini sepatutnya bekerja secara khidmat negara atau ‘national service’ dan disertai oleh kumpulan teknokrat serta professional seperti yang disarankan Tun Dr Mahathir Mohamad,” tambahnya.

Semalam, Muhyiddin dilantik sebagai pengerusi MPN bertaraf menteri oleh Jemaah Menteri.

Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali dalam kenyataan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pada Rabu lalu.

Menurut Zuki, pelantikan itu dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply