Home Semasa Dilantik Pengerusi MPN: Muhyiddin sedia berkhidmat secara sukarela

Dilantik Pengerusi MPN: Muhyiddin sedia berkhidmat secara sukarela

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia menjalankan tugas sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf Menteri secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.

Beliau berkata, kepercayaan yang telah diberikan oleh kerajaan ini merupakan suatu amanah untuknya meneruskan segala usaha dan perancangan yang telah dimulakan sebelum ini untuk memulihkan negara daripada kesan wabak COVID-19.

“Saya berbesar hati menerima pelantikan ini dan akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan,

“Saya dan anggota MPN akan berperanan membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan pimpinan beliau membawa Malaysia melalui fasa-fasa pemulihan sepertimana yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN),

“Ini termasuk menyokong pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, memudah cara pembukaan sektor-sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan keagamaan serta mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan kepada norma baharu kehidupan selaras dengan peralihan pengurusan COVID-19 yang akan memasuki fasa endemik,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam media sosial miliknya, malam tadi.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan berkata, keputusan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN itu dibuat Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 1 September lalu.

Menurut beliau, pelantikan bekas Perdana Menteri ke-8 itu telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Pelantikan ini juga dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

“Pihak kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Muhyiddin di atas pelantikan ini,” jelasnya.-airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply