Home Semasa Harga kit ujian kendiri COVID-19 ditetapkan RM19.90

Harga kit ujian kendiri COVID-19 ditetapkan RM19.90

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Kerajaan menetapkan harga kawalan kit ujian kendiri COVID-19 pada harga RM19.90 manakala, harga borong kit ujian pula dijual pada harga maksimum RM16, berkuat kuasa Ahad ini.

Menerusi kenyataan bersama Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan itu dibuat berikutan permintaan terhadap kit berkenaan dijangka meningkat susulan kesedaran orang ramai bagi membuat ujian sendiri bagi memastikan diri bebas daripada wabak COVID-19.

“Sebagai kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup yang meningkat pada masa kini dan sebagai tanda sokongan kementerian bagi menangani wabak COVID-19, kerajaan akan membuat kawalan ke atas harga borong dan runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) yang akan berkuat kuasa pada 5 September di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Kawalan Bekalan 1961,

“Sehubungan itu, KPDNHEP telah mengadakan libat urus dengan semua pemain industri tempatan dan pengimport dalam menentukan harga kawalan yang berpatutan bagi semua pihak,

“KPDNHEP juga menjangkakan kesan persaingan akan menstabilkan lagi harga jualan di semua peringkat seperti mana berlaku kepada harga pelitup muka,” kata kenyataan itu.

Pihak KPDNHEP menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi harga kawalan tersebut.

Menurutnya, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

“Kesalahan menjual melebihi harga maksimum bagi individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000,

“Bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” jelasnya.

Pada masa yang sama, mereka menjelaskan, kementerian juga menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga.

“Kementerian mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha untuk menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan,” tambah kenyataan itu. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply