Home Pertahanan dan Keselamatan ATM aturgerak aset, kepakaran bantu redakan situasi COVID-19 – Hishamuddin

ATM aturgerak aset, kepakaran bantu redakan situasi COVID-19 – Hishamuddin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia diaturgerak bagi membantu pihak kerajaan dalam meredakan situasi COVID-19 di Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan yang mempunyai penularan jangkitan harian yang tinggi ketika ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, ATM melalui Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT) bersedia untuk membantu mendirikan Hospital Medan di negeri-negeri yang akan dikenalpasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ia bagi membantu memberikan rawatan ke atas pesakit-pesakit COVID-19 khususnya yang berada dalam keadaan tahap 3 ke atas,

“Saya percaya, bantuan ATM ini akan dapat membantu berupaya mengurangkan beban yang ditanggung oleh KKM di negeri-negeri berkenaan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, usaha bagi mengurus dan meredakan situasi di 5 negeri berkenaan sudah tentutanya menjadi keutamaan ATM kerana perkara paling penting bagi ATM ketika ini ialah memenuhi agenda nasional terutama memerangi COVID-19.

“ATM sememangnya mempunyai infrastruktur, aset serta kepakaran yang mencukupi dan sedia diaturgerak pada bila-bila masa,” ujarnya.

Selain itu, ATM bersedia untuk membantu menyediakan lebih banyak tim vaksinasi di negeri-negeri yang memerlukan terutama di kawasan pedalaman yang sukar dicapai oleh pihak KKM.

Tambahnya, tidak sekadar di 5 negeri berkenaan, ATM juga akan memberi bantuan sewajarnya bagi menjayakan usaha memerangi COVID-19 di negeri lain.

“Ini termasuklah meningkatkan kapasiti pemberian vaksin secara pandu lalu kepada masyarakat awam seperti yang ditetapkan oleh Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini,

“ATM kini hanya menunggu pengesahan lokasi oleh pihak Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF),” jelasnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply