Home Sejarah Sejarah Kor Armor Diraja – Bahagian 1: Rejimen Perisai Persekutuan dan Kongo

Sejarah Kor Armor Diraja – Bahagian 1: Rejimen Perisai Persekutuan dan Kongo

by M.Daim

Kor Armor Diraja (KAD) merupakan salah satu elemen tempur dalam ketumbukan Tentera Darat Malaysia. Pada tanggal 1 September 2021, KAD telah pun mencapai usia 69 tahun.

Sejarah KAD bermula dengan penubuhan Batalion Pertama Rejimen Persekutuan (1st Battalion Federation Regiment) dan Rejimen Perisai Persekutuan (Federation Armoured Car Regiment) pada 1 September 1952.

Pada ketika itu, Rejimen Perisai Persekutuan hanya mempunyai kekuatan sebuah skuadron sahaja. Skuadron ini dikenai sebagai Skuadron Alpha Kereta Perisai Persekutuan dan berpangkalan di Kem Rasah, Seremban, Negeri Sembilan.

Pemberontakan bersenjata oleh pengganas komunis yang berlaku pada ketika itu telah membawa kepada penubuhan Batalion Pertama dari Rejimen Persekutuan telah ditubuhkan.

Pada 18 September tahun yang sama, kekuatan Kereta Perisai Persekutuan diperbesarkan menjadi sebuah rejimen di kem yang sama. Perkembangan ini adalah seiring dengan rancangan meningkatkan mutu serta keupayaan pasukan tentera darat pada ketika itu.

Kedua-dua Rejimen Persekutuan dan Rejimen Perisai Persekutuan terlibat secara langsung dalam operasi menggempur pengganas komunis sejak penubuhannya sehingga tamat Darurat Pertama pada 1960.

Kereta perisai Ferret yang pernah digunakan oleh MSF dijadikan sebagai tugu di Kongo. Perhatikan lambang gauntlet dan 2 keris bersilang pada turet kenderaan.

Penubuhan Kor Peninjau

 Pada 1 Januari 1960, Rejimen Persekutuan dan Rejimen Perisai Persekutuan telah disatukan dan diberi gelaran Kor Peninjau Persekutuan (Federation Reconnaissance Corps).

Dibawah kor ini, Rejimen Persekutuan dikenali sebagai Rejimen Pertama Peninjau Persekutuan (1st Regiment Federation Reconnaissance Corps). Unit ini turut disebut sebagai 1 Peninjau atau 1st Recce.

Rejimen Kereta Perisai Persekutuan membentuk Rejimen ke-2 Persekutuan. Ia dikenali sebagai 2 Peninjau atau 2nd Recce.

Pada ketika ini, Kor Peninjau Persekutuan dilengkapi kereta peninjau Ferret, Daimler dan beberapa kenderaan perisai British..

Misi pertama pasukan pengaman Malaysia (pada ketika itu Malaya) diabadikan pada sebuah tugu kenderaan tempur Ferret di Congo.

Misi Pengaman Pertama

Operasi pengaman di Congo merupakan operasi pengaman yang pertama disertai negara semenjak 31 Ogos 1957.

Walaupun baharu sahaja ditubuhkan, Kor Peninjau Persekutuan telah diberikan mandat untuk menganggotai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di negara yang terletak di tengah-tengah benua Afrika itu.

Misi bermula dengan keberangkatan Skuadron Charlie dari 2 Peninjau pada 4 Oktober 1960.

Skuadron ini diletakkan di bawah pemerintahan Pasukan Khas Malaya (Malayan Special Forces, MSF.

Atas kecemerlangan Skuadron Charlie 2 telah mengharumkan tanah air, keseluruhan 2 Peninjau telah digerakkan ke Congo bagi memperkuatkan MSF.

Kekuatan pasukan pengaman MSF adalah satu briged. Pasukan ini diterajui ole Briged ke-3 Infantri pada waktu itu.

Rejimen Pertama Peninjau Persekutuan kemudiannya mengambil alih penugasan daripada 2 Peninjau pada Februari 1962.

Penglibatan Kor Peninjau Persekutuan dalam operasi pengaman yang pertama telah mengharumkan nama tanah air. Kejayaan mengukir namanya di persada dunia telah membuktikan kewibawaan dan kegemilangan Kor Armor yang terus terpahat dalam sejarah TD.

Atas khidmat baktinya, Kor Peninjau Persekutuan telah dikurniakan Panji-Panji Diraja oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 23 Mac 1963 di Stadium Merdeka.

Kor Peninjau Persekutuan sekali lagi mengalami perubahan apabila Persekutuan Malaysia dibentuk pada 16 September 1963.

Bersambung

Related Articles

Leave a Reply