Home Semasa Segera usaha pulihkan negara daripada COVID-19: Muhyiddin

Segera usaha pulihkan negara daripada COVID-19: Muhyiddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Jemaah Menteri yang baharu dilantik dan selesai mengangkat sumpah hari ini diharap akan memberikan tumpuan segera kepada usaha memulihkan negara daripada wabak COVID-19.

Bekas Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin berkata, Jemaah Menteri perlu memberi fokus terutamanya dalam menyalurkan bantuan untuk golongan rakyat yang memerlukan selain segera memacu pertumbuhan ekonomi.

“Program vaksinasi menunjukkan pencapaian menggalakkan dengan lebih 62 peratus populasi dewasa setakat ini sudah menerima dua dos suntikan lengkap,

“Vaksinasi mesti dipastikan terus berjalan lancar dan mencapai sasaran yang ditetapkan. Begitu juga dengan pembukaan sektor-sektor ekonomi mengikut fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) mesti dilaksanakan dengan teratur tanpa menjejaskan sasaran pemulihan negara daripada wabak COVID-19.

“Program bantuan prihatin rakyat juga mesti diteruskan untuk membantu golongan yang memerlukan dalam fasa pemulihan negara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menjelaskan, sebagai badan yang menjalankan fungi Eksekutif Persekutuan, Jemaah Menteri adalah badan tertinggi yang memutuskan dasar-dasar kerajaan untuk dilaksanakan di setiap peringkat.

Sehubungan itu, beliau menambah, fungsi ini mestilah dilaksanakan dengan penuh wibawa demi kepentingan rakyat dan negara.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan Jemaah menteri yang telah mengangkat sumpah jawatan dan setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini,

“Ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepda Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri dari parti-parti komponen PN,

“Sesungguhnya pelantikan ini adalah suatu amanah berat yang mesti dipikul dengan penuh jujur, ikhlas dan berintegriti selaras dengan prinsip Rukun Negara dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan,” tambahnya.

Terdahulu, seramai 30 menteri dan 37 timbalan menteri selesai mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, di sini yang bermula jam 2.30 petang hari ini.

Mengikut jadual seramai 31 menteri dan 38 timbalan menteri mengangkat sumpah hari ini. Bagaimanapun, 2 daripada mereka tidak dapat hadir untuk mengangkat sumpah jawatan akibat wabak COVID-19.

Mereka ialah Tan Sri Noh Omar (Ahli Parlimen Tanjung Karang) yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana difahamkan menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19 dan Datuk Mohamad Alamin (Kimanis) yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II, yang disahkan positif COVID-19.

Istiadat yang berlangsung di Balairung Seri itu juga tidak dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana sedang menjalani kuarantin kendiri selepas disahkan mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply