Home Pertahanan dan Keselamatan Pemimpin politik Malaysia terima bantuan, sokongan luar negara – Bekas KP Perisikan

Pemimpin politik Malaysia terima bantuan, sokongan luar negara – Bekas KP Perisikan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral (B) Datuk Mohd Salleh Ismail mendedahkan terdapat pemimpin politik negara ini dipercayai menerima bantuan dan sokongan moral daripada organisasi luar negara terutama Amerika Syarikat (AS) dalam mengukuhkan kedudukan karier politik mereka.

Memetik laporan Mingguan Malaysia, Mohd Salleh berkata, intipan mendapati pemimpin-pemimpin politik berkenaan turut melakukan pertemuan dengan individu berpengaruh di luar negara.

Menurutnya, hasil risikan mendapati pemimpin tersebut sangat diminati pihak luar untuk meneruskan kedudukan dan kekuatan mereka dalam politik.

“Kita tahu tindakan (pihak dari luar negara) menjurus kepada memberi bantuan kepada pihak-pihak tertentu (dalam negara). Kita tiada bukti bahawa bantuan itu diserah secara terus tetapi maklumat yang kita terima, beberapa organisasi di AS, contohnya ada memainkan peranan,

“Mereka juga diberi sokongan secara moral. Itu memang jelas, melalui tindakan-tindakan (beberapa pemimpin politik) yang sering berjumpa dengan pihak yang berpengaruh di luar negara. Maklumat-maklumat itu kita dapat,” katanya.

Mohd Salleh berkata, perisikan tentera mempunyai maklumat dan bukti yang kukuh tentang pertemuan tersebut daripada tarikh pertemuan, lokasi serta identiti pemimpin politik terbabit yang mengadakan pertemuan dengan pihak asing.

“Sewaktu dia berada di beberapa negara, kita buat pemantauan. Siapa yang dia jumpa dan sebagainya. Tapi kita tak tahu apa yang dibincangkan,

“Tapi memang ada perjumpaan dengan beberapa orang yang mendapat sokongan secara moralnya dari luar negara,” jelasnya.

Namun, Mohd Salleh tidak mendedahkan indentiti mana-mana pemimpin politik yang didakwa terlibat dalam kegiatan tersebut.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!