KUCHING, 27 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak telah menahan sebuah bot nelayan Vietnam menggunakan nombor pendaftaran palsu melakukan aktiviti menangkap ikan di kedudukan 250 batu nautika dari timur laut Tanjung Po pada Isnin.
Pengarah APMM Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, turut ditahan 16 kru termasuk tekong warga Vietnam berusia 19 hingga 53 tahun kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Tangkapan dibuat pada jam 7.14 pagi, hasil maklumat serta aduan komuniti nelayan tempatan mengenai kerakusan nelayan asing Vietnam menyamar nelayan tempatan dengan menggunakan nombor pendaftaran tempatan palsu bagi merompak hasil laut di beberapa lokasi tertentu di perairan Sarawak.
“Semasa melaksanakan pemantauan dan rondaan rutin Op Khas Kuda Laut/Op Permai sekitar jam 6.30 pagi Isnin lalu, Kapal Maritim (KM) BIJAK telah mengesan sebuah bot mencurigakan dengan menggunakan nombor pendaftaran tempatan, namun berdasarkan struktur fizikal, bot tersebut disyaki bot nelayan Vietnam,
“Bot tersebut juga bertindak melarikan diri apabila cuba dirapati oleh KM Bijak dan tekong mengemudikan bot secara agresif dengan melanggar bahagian sisi kanan kapal KM Bijak,
“Namun KM Bijak terus mengejar bot tersebut dengan mengambil masa hampir 30 minit untuk dipintas dan berjaya menahan setelah dihimpit rapat,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut Zin Azman, pemeriksaan dan geledah mendapati bot tersebut tidak memiliki sebarang dokumen serta lesen daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.
“Bot dan kru diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) di Muara Tebas untuk siasatan lanjut,
“Peralatan menangkap ikan serta bekalan diesel lebih kurang 10,000 liter turut dirampas dan keseluruhan rampasan termasuk bot adalah dianggarkan bernilai RM1 juta,” ujarnya.
Jelasnya, kes itu disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri. – airtimes.my