Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PAS setuju pendekatan kerjasama politik rentas parti – Takiyuddin

PAS setuju pendekatan kerjasama politik rentas parti – Takiyuddin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – PAS bersetuju dengan pendekatan kerjasama politik rentas parti yang telah dipelopori oleh Kerajaan Persekutuan sejak beberapa bulan yang lalu dan kini diteruskan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini merupakan suatu pendekatan politik matang yang berpaksikan kepada keutamaan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat tanpa mengambil kira sebarang perbezaan.

“PAS berpandangan langkah yang diambil adalah selaras dengan realiti politik masa kini dalam konteks pentadbiran negara di seluruh dunia di mana tidak wujud dominasi satu-satu parti politik selepas sesuatu pilihan raya umum diadakan,

“Justeru PAS menyambut baik sambutan pimpinan parti-parti pembangkang utama di negara ini terhadap usaha pemulihan negara yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan,

“Kerajaan yang turut memberikan ruang yang luas kepada semua pihak untuk sama-sama menyumbang idea dan buah fikiran dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 serta kesan-kesannya termasuk aspek ekonomi dan sosial,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Takiyuddin berkata, PAS yakin dalam masa yang sama kerajaan akan terus berinteraksi dan mewujudkan kerjasama yang lebih konstruktif melibatkan semua pemegang taruh termasuk pihak pembangkang ke arah langkah-langkah reformasi merangkumi semua sektor, institusi dan segmen masyarakat.

“Dengan ini diharapkan akan menjadi suatu permulaan yang baik bagi pembentukan landskap baharu politik negara yang mementingkan kesejahteraan, keharmonian dan keadilan kepada semua rakyat yang terdiri dari masyarakat majmuk,” ujarnya.

Semalam, Ismail Sabri mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Menurut Ismail Sabri, pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam ini, tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik COVID-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply