WASHINGTON, 26 Ogos – Amerika Syarikat (AS) menegaskan pihaknya akan mengutamakan pengunduran anggota tentera dalam masa 2 hari terakhir Ogos ini.
AS dan beberapa buah negara lain akan menamatkan kehadiran mereka pada 31 Ogos ini.
Pihak Pentagon dalam satu taklimat kepada media menyatakan kira-kira 5,400 anggota tentera AS masih berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai, Kabul.
Menurutnya, operasi membawa keluar pelarian dan rakyat negara lain sedang giat dilaksanakan di lapangan terbang itu.
“Dalam tempoh 24 jam lalu, 90 penerbangan dilaksanakan oleh Tentera AS dan penerbangan antarabangsa,
“Lebih19 ribu orang telah dibawa keluar dan sebuah pesawat berlepas setiap 39 minit,” kata Mejar Jeneral William Taylor.
Sementara itu, jurucakap Pentagon, John Kirby menyatakan seramai 4,400 rakyat AS telah dibawa keluar dari Kabul.
“Kita masih belum mengetahui jumlah sebenar rakyat AS yang belum dibawa keluar dari Afghanistan,
“Kami menjamin untuk memastikan mereka yang masih berada di Afghanistan akan dibawa keluar dari negara itu secepat yang mungkin,
“Namun, pada 2 hari terakhir Ogos, kami akan mengutamakan operasi membawa keluar anggota tentera dan peralatan mereka,” katanya.
Selain membawa keluar rakyatnya, AS turut melakukan penerbangan khas bagi membawa rakyat Afghanistan yang berisiko untuk menerima tindak balas dari Taliban dan rakyat dari beberapa buah negara lain. – airtimes.my