Home Pertahanan dan Keselamatan Penduduk kampung, RELA berkas 13 PATI Indonesia ceroboh Sabah

Penduduk kampung, RELA berkas 13 PATI Indonesia ceroboh Sabah

by Air Times News Network

TAWAU, 24 Ogos – Seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya diberkas oleh penduduk Kampung Batu Payung kerana cuba menyusup masuk ke Sabah menerusi jalan tidak sah, sebelum diserahkan kepada pihak ESSCOM, malam tadi.

Kesemua PATI tersebut ditahan kira-kira jam 9 malam oleh Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dan Jabatan Sukarelawan (RELA) mengesan 2 kenderaan dinaiki PATI tersebut yang disyaki baru mendarat di kawasan Pantai Batu 12, Jalan Batu Payung.

Komander ESSCOM, DCP Datuk Ahmad Fuad Othman dalam satu kenyataan berkata, turut ditahan 2 tekong darat warga tempatan masing-masing berusia 28 tahun bersama 2 kenderaan yang digunakan dalam kegiatan tersebut.

Terdahulu, anggota pasukan Op Cegah Pati (OCP) Daratan ESSCOM bersama Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang sedang menjalankan rondaan Op Cegah PATI telah dihubungi oleh Ketua KRT Kampung Batu Payung yang memaklumkan mengenai penahanan 2 buah kenderaan di pantai Batu Payung, Batu 12, Jalan Kampung Tinagat.

“Setibanya di lokasi kejadian, Tim OCP Daratan ESSCOM telah memeriksa kedua-dua kenderaan tersebut dan mendapati 7 lelaki dewasa, 5 perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan berada di dalam kedua-kedua kenderaan tersebut,

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka yang berumur antara 2 hingga 49 tahun tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Menurut Ahmad Fuad, hasil siasatan lanjut mendapati kesemua mereka mengaku baru tiba dari Sungai Nyamuk, Indonesia menggunakan laluan yang tidak sah dengan menggunakan sebuah bot.

“Manakala kedua-dua pemandu kenderaan tersebut mengaku mengambil penumpang setibanya di lokasi berkenaan,

“Kesemua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di Seksyen 55(E) Akta Imigresen 1959/63 dan Sekyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.

Pada masa sama, Ahmad Fuad merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan operasi tersebut terutamanya kepada KRT dan RELA Zon Batu Payung kerana menjadi ‘mata dan telinga’ serta membantu pasukan keselamatan mengekang kemasukan PATI. – airtimes.my

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply