Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Kes tembakan anggota TUDM: Polis tunggu laporan penuh pakar patologi

Kes tembakan anggota TUDM: Polis tunggu laporan penuh pakar patologi

by Air Times News Network

KUCHING, 24 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu laporan penuh bedah siasat daripada pakar patologi berhubung 4 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam insiden tembakan di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM, Kem Kota Samarahan pada 13 Ogos lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya telah membuka siasatan di bawah seksyen 302 kanun keseksaan.

“Bedah siasat ke atas semua mangsa telah dijalankan dan jenazah telah diserahkan kepada waris masing-masing,

“Sampel barang kes meliputi sampel asid deoksiribonukleik (DNA), senjata api dan kelongsong peluru telah dihantar ke Jabatan Kimia dan Forensik PDRM untuk analisa saintifik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Aidi, pihaknya turut merampas telefon bimbit milik mangsa dan telah dihantar ke Jabatan Kimia dan Forensik PDRM untuk analisa bagi mengenal pasti punca dan motif kejadian tersebut.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya setelah siasatan lengkap dan laporan pakar diperolehi,

“Orang awam adalah dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan bagi menghormati serta menjaga sensitiviti keluarga,” ujarnya.

Pada 13 Ogos lalu, TUDM telah mengesahkan berlaku satu insiden kejadian tembakan membabitkan 4 anggotanya pada jam 7.15 pagi di balai pengawal Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM, Kem Kota Samarahan ketika waktu anggota bertugas.

4 anggota yang terkorban adalah Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli, Koperal Udara Mohamad Ehsan Sehamat, Koperal Udara Ho Swee Boon dan Laskar Udara Nesly Anak Nabau. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply