Home Pertahanan dan Keselamatan Pengoperasian Hospital Medan ATM diserahkan kepada Hospital Kapit

Pengoperasian Hospital Medan ATM diserahkan kepada Hospital Kapit

by Nurulhuda

KAPIT, 22 Ogos – Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (HM ATM) di Kapit telah diserahkan kepada Hospital Kapit untuk dijadikan sebagai wad tambahan kepada hospital berkenaan.

Majlis serah menyerah pengoperasian hospital tersebut telah dilaksanakan oleh Komander HM ATM Kapit, Mejar (Dr) Vinodkumar Manogran bersama Pengarah Hospital Kapit, Doktor Ivan Vun Jan Shui di Dewan Masyarakat Melayu Kapit, Jumaat lalu.

Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Briged) menerusi hantaran di media sosialnya berkata, upacara menandatangani nota serah menyerah HM ATM tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Komander Rejimen 510 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Ahmad Halim Mohd Rosli yang mewakili Panglima 9 Briged dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Jefferson Jamit anak Unyat.

“Upacara menandatangani nota serah menyerah HMATM Kapit di antara Mej (Dr) Vinodkumar A/l Manogaran, Komander HMATM Kapit kepada Dr Ivan Vun Jan Shui, Pengarah Hospital Kapit,” jelas 9 Briged.

Menurutnya, majlis tersebut telah dilaksanakan mengikut norma baharu dengan penglibatan ketua-ketua Jabatan Kerajaan tempatan, pegawai dan anggota petugas kesihatan ATM, petugas kesihatan Hospital Kapit yang minimum serta mematuhi Prosuder Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

HM ATM yang diwujudkan di Dewan Masyarakat Melayu, Kapit pada 11 Mei lalu telah dijadikan dan berjaya mencapai objektif bagi membantu Hospital Kapit dalam merawat kes-kes bukan COVID-19 serta pesakit luar.

Hospital ini mempunyai kekuatan seramai 2 pegawai dan 45 orang anggota lain-lain pangkat (LLP) dan 12 staf Hospital Kapit. Hospital medan ini juga telah berjaya merawat seramai 164 pesakit.

“Penubuhan HM ATM Kapit ini juga merupakan usaha murni selaras dengan dengan Tonggak Kelima Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-28, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain yang menekankan peningkatan hubungan tentera dan awam,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply