Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan bot tunda guna lesen tamat tempoh di Bintulu

APMM tahan bot tunda guna lesen tamat tempoh di Bintulu

by Nurulhuda

BINTULU, 22 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu telah menahan sebuah bot tunda yang beroperasi menggunakan lesen perkapalan yang telah tamat tempoh di kedudukan 1.9 batu nautika daripada Muara Sungai Kemena, Bintulu, semalam.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, bot tunda itu dikesan dalam keadaan mencurigakan pada jam 1.20 tengah hari semasa rondaan dijalankan.

“Sejurus menghampiri bot berkenaan, pasukan APMM Bintulu menjalankan pemeriksaan ke atas bot terbabit yang mana hasil semakan mendapati ianya menggunakan lesen perkapalan yang sudah tamat tempoh,

“3 kru termasuk nakhoda, terdiri daripada 2 warga tempatan dan seorang warga Indonesia, berusia dalam lingkungan 37 hingga 53 tahun ditahan serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Effendy berkata, semakan rekod juga mendapati bot tunda ini pernah ditahan dan dikompaun kerana melakukan kesalahan yang sama pada tahun 2020.

Beliau berkata, ia merupakan kesalahan berulang dilakukan oleh bot yang sama.

“Bot tunda serta semua kru ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel APMM Bintulu untuk siasatan lanjut oleh Pegawai Penyiasat,

“Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana beroperasi menggunakan lesen perkapalan yang telah tamat tempoh,

“Pesalah boleh dihukum denda tidak melebihi RM 10 ribu atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply