Home Semasa Istiadat angkat sumpah Ismail Sabri jadi tumpuan hari ini

Istiadat angkat sumpah Ismail Sabri jadi tumpuan hari ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Istana Negara terus menjadi tumpuan para pengamal media apabila Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan hadir bagi menghadiri Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri ke 9, pada petang ini.

Istiadat tersebut akan diadakan di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ismail Sabri dijangka ditemani isteri beliau, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong memperkenan pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baru menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melepaskan jawatannya Isnin lalu.

“Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Ismail Sabri Yaakob (Ahli Parlimen Bera) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9,

“Proses seterusnya ialah lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan pada 21 Ogos 2021 (Sabtu), jam 2.30 petang, di lstana Negara,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan, semalam.

Pelantikan Ismail Sabri itu, dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bermula jam 2.30 petang di Istana Negara, pada Jumaat.

Ahmad Fadil berkata, pencalonan bakal Perdana Menteri telah dibuat menerusi surat-surat akuan daripada semua ahli parlmen dengan tujuan untuk membantu Seri Paduka Baginda membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Istana Negara telah menerima pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan (statutory declaration) pada 18 Ogos lalu,

“Dari surat-surat akuan tersebut seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Ismail Sabri Yaakob (Ahli Parlimen Bera), jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan,

“Susulan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam, 19 Ogos, untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply