Home Semasa COVID-19: Pesakit turun mendadak, HTAR pulang mesin oksigen

COVID-19: Pesakit turun mendadak, HTAR pulang mesin oksigen

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Penurunan mendadak jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang membolehkan hospital berkenaan memulangkan semula 80 unit mesin oksigen ‘concentrator’ yang dipinjamkan.

HTAR dalam kenyataan di Facebook memberitahu, kesemua mesin tersebut dipulangkan semula kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) 2.0, semalam.

Menurut HTAR, Bahagian Logistik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima dan akan menyusun semula keperluan perlatan berkenaan untuk digunakan di negeri-negeri lain yang mengalami peningkatan kemasukan pesakit secara mendadak.

“Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak PKRC MAEPS 2.0, khusus kepada Pengarahnya, Doktor Shahabuddin Ibrahim atas pinjaman sebanyak 80 unit mesin oksigen concentrator kepada HTAR sepanjang tempoh bencana,

“Pihak HTAR memutuskan untuk memulangkan semula peralatan tersebut memandangkan jumlah pesakit COVID-19 di hospital ini semakin menurun,

“Segala sumbangan dan sokongan daripada pihak luar ke HTAR amatlah dihargai dan diucapkan jutaan terima kasih,” katanya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply