Home Politik PN setuju secara bersyarat, calon Ismail Sabri sebagai PM – Muhyiddin

PN setuju secara bersyarat, calon Ismail Sabri sebagai PM – Muhyiddin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Perikatan Nasional (PN) sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri baharu secara bersyarat.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekiranya Ismail Sabri dilantik PM oleh Yang di-Pertuan Agong, beliau hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

“Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan,” katanya dalam kenyatan hari ini.

Beliau berkata, kesemua 50 Ahli Dewan Rakyat parti gabungan PN telah menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri iaitu 31 orang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PAS (18) dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (1) telah menyerahkan Akuan Bersumpah ke Istana Negara, semalam.

Turut berbuat demikian adalah, 4 ahli Dewan Rakyat bebas yang menyokong PN.

“Saya juga telah berunding dengan pimpinan parti GPS dan PBS yang membentuk kerajaan PN sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama,

“Keputusan ini dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar kerajaan PN yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi COVID-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya umum bagi mengembalikan mandat kepada rakyat,” ujarnya.

Menurut Muhyiddin, keputusan tersebut juga bermakna PN lebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa.

“Apabila berhadapan dengan situasi krisis, ahli politik mesti berjiwa besar demi kepentingan rakyat dan negara,” jelasnya.

Pada masa sama, Muhyiddin berharap proses pelantikan PM yang baharu dapat berjalan lancer dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“Selaku Pengerusi PN, saya akan menersukan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) apabila tiba masanya,” katanya lagi. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply