Home PolitikPakatan Harapan Semua parti politik setuju mulakan politik baharu – Anwar Ibrahim

Semua parti politik setuju mulakan politik baharu – Anwar Ibrahim

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Semua ketua parti bersepakat menghentikan politik lama dan memulakan politik baharu terutamanya ketika negara sedang menghadapi wabak COVID-19.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat secara konsensus selepas kesemua ketua parti selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini di Istana Negara.

“Semua ketua-ketua parti yang hadir hari ini telah memberikan pandangan masing-masing kepada Yang di-Pertuan Agong,

“Saya, Lim Guan Eng, Mat Sabu dan lain-lain dari UMNO, PAS, PEJUANG serta PPBM memberi pandang masing-masing,

“Semua nampak ada konsensus untuk hentikan politik lama dengan cara hukum dan harus jurus semula ke arah membangun,” katanya kepada pemberita di perkarangan pintu 2 Istana Negara selepas hampir 2 jam mengadakan pertemuan dengan Yang di Pertuan Agong.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, Agong turut bertitah apa pun keputusan yang dibuat adalah berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Yang di-Pertuan Agong turut memberitahu mengenai lunas-lunas Perlembagaan, cari calon Perdana Menteri yang dapat majoriti sokongan ahli Parlimen tetapi politik perlu berubah,

“Maknanya, yang menang jangan jadi seperti pernah berlaku ‘memakan’ yang kalah,

“Harus ada satu kekuatan dengan semua parti dengan semangat persefahaman baru, bekerjasama untuk menangani masalah COVID-19 serta mengangkat semula ekonomi negara,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan semua ketua parti yang hadir terus bersatu menghadapi pendemik OCVID-19, politik dan ekonomi serta mahu semua pihak bermuafakat menanganinya.

Beliau turut berkata, isu yang dibincangkan dalam pertemuan itu bukan sahaja mengenai pelantikan Perdana Menteri baharu, tetapi menggagas bentuk politik baharu yang lebih aman dan nyaman untuk rakyat.

Terdahulu, Anwar bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menghadap Yang di-Pertuan Agong serta Sultan Nazrin Shah selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Pertemuan hari ini menyusul selepas peletakan jawatan Tan Seri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas 18 bulan memegang tampuk pimpinan negara.

Muhyiddin kini ialah Perdana Menteri ‘caretaker’ sehingga Perdana Menteri baharu dilantik. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply