Home Semasa Parlimen: 3 lagi kes positif COVID-19 dikesan

Parlimen: 3 lagi kes positif COVID-19 dikesan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 3 lagi
kes positif COVID-19 berkaitan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang diadakan pada 26 hingga 29 Julai lalu.

Pertambahan itu sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kes dikesan berkaitan semasa persidangan Dewan Rakyat adalah 20 kes dan jumlah keseluruhan kes berkaitan mesyuarat tersebut sebanyak 88 kes positif COVID-19 (disahkan dengan ujian RT-PCR).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, 3 kes baharu itu dikesan berkaitan semasa persidangan Dewan Rakyat membabitkan kontak rapat dengan 17 kes sudah dilaporkan sebelum ini menjadikan jumlah terkini sebanyak 20 kes.

Kes membabitkan saringan Pra Dewan Rakyat dan Pra Dewan Negara masing-masing kekal dengan 60 dan lapan kes setakat ini.

Beliau berkata, kes-kes tersebut dilaporkan pada 7 Ogos lalu dan mempunyai nilai kitaran ambang atau CT value RT PCR di antara 19.15 sehingga 22.27 iaitu bermaksud kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan jujukan genom penuh dan masih menunggu keputusan akhir,

“Kesemua kes mempunyai gejala ringan dan sebelum ini telah pun mendapat vaksin lengkap. Mereka juga telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan kuarantin kendiri setelah pulang dari sidang Parlimen supaya tidak menjangkiti ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Pada masa yang sama, Dr Noor Hisham turut menasihati individu yang hadir ke Parlimen untuk terus memantau kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera dan menjalani ujian saringan COVID-19 serta mendapatkan rawatan segera.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply