Home Semasa 360 mangsa korban akibat COVID-19, rekod tertinggi dicatatkan

360 mangsa korban akibat COVID-19, rekod tertinggi dicatatkan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 18,688 kes jangkitan baharu COVID-19 direkodkan di Malaysia dengan jumlah kematian melonjak kepada 360 orang dalam tempoh 24 jam lalu.

Angka kematian baharu itu adalah rekod tertinggi pernah dicatatkan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, pertambahan kes baharu ini ia menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 dalam negara kini sebanyak 1,262,540 kes.

Selangor terus merekodkan kes jangkitan harian tertinggi dengan 6,565 kes, diikuti Kuala Lumpur (1,883), Kedah (1,610), Sabah (1,379), Johor (1,308) Negeri Sembilan (1,140) Kelantan (870) dan Perak (861).

Selain itu, Pulau Pinang merekodkan 694 kes, Pahang (602), Terengganu (598), Sarawak (581), Melaka (526), Putrajaya (63), Perlis (6) dan Labuan (2).

Dr Noor Hisham berkata, 360 kes kematian yang dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang terkorban akibat wabak tersebut dalam negara meningkat kepada 10,749 kes.

Sementara itu, jumlah pesakit sembuh pula adalah seramai 17,055 orang manakala 1,095 pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU) dengan 571 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau menambah, sebanyak 39 lagi kluster baharu COVID-19 dikenal pasti dalam tempoh 24 jam lalu dan daripada jumlah itu, 18 adalah kluster melibatkan aktiviti tempat kerja yang direkodkan di Selangor, Johor, Kelantan, Kuala Lumpur, Sarawak, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang.

“Selain itu, 15 kluster komuniti dikesan melibatkan Kelantan, Terengganu, Selangor, Kedah, Pahang dan Sarawak,

“2 kluster pula melibatkan pusat tahanan di Perak dan Pahang; 2 kluster kumpulan berisiko tinggi di Sarawak dan Kuala Lumpur; satu kluster keagamaan di Kedah dan satu kluster pendidikan tinggi di Kelantan,” jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply