KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan penghargaan kepada barisan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang telah menyuarakan sokongan terhadap beliau serta kerajaan pimpinannya, Perikatan Nasional (PN), hari ini.
Muhyiddin turut meluahkan ucapan terima kasih kepada Ahli Parlimen BN yang bersetuju bahawa keabsahannya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen pada bulan September dalam usul undi percaya dan bukan melalui kaedah lain.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan semua Ahli Parlimen BN yang bersama beliau menyatakan sokongan kepada kerajaan PN pimpinan saya,
“Saya juga mengucapkan terima kasih di atas pendirian mereka yang bersetuju bahawa keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen pada bulan September dalam usul undi percaya dan bukan melalui kaedah lain,
“Ini adalah selaras dengan titah perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang disampaikan kepada saya semasa sesi menghadap di Istana Negara pada hari Rabu,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Beliau turut berharap agar pendirian Ahli-Ahli Parlimen BN ini akan dapat menghentikan polemik politik yang sedang berlaku pada masa ini.
Selain itu, beliau juga berharap ia dapat memberi ruang kepada kerajaan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha menangani COVID-19, mempercepatkan proses vaksinasi dan memulihkan ekonomi negara.
“Kepentingan rakyat dan negara perlu diutamakan dalam kita berhadapan dengan pandemik ini,” tambahnya.
Terdahulu Ismail Sabri, mengetuai sidang media bersama 31 Ahli Parlimen BN menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.
Ketika mengumumkan pendirian itu, mereka juga menyokong supaya keabsahan kerajaan PN dan kepemimpinan Perdana Menteri ditentukan ketika persidangan Parlimen pada September depan.
Seramai 10 lagi Ahli Parlimen UMNO, BN yang bersetuju mengambil pendirian sama, tidak hadir ketika sidang media terbabit. -airtimes.my