Home PolitikBarisan Nasional Noraini pula letak jawatan

Noraini pula letak jawatan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Pengajian Tinggi berkuat kuasa serta-merta.

Beliau menjadi menteri UMNO yang kedua melepaskan jawatan, selepas pengumuman Presiden UMNO yang menarik semula sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Berdasarkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 3 Ogos lalu, saya akur dengan keputusan parti dan meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan berkuat kuasa serta-merta,

“Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat sebagai Menteri Pengajian Tinggi di dalam Kerajaan Persekutuan,

“Saya percaya, kita telah berusaha melakukan yang terbaik dalam menguruskan negara mendepani pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan kehidupan manusia di seluruh dunia. Usaha ini akan saya teruskan walaupun tidak lagi menjadi Menteri Kabinet Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama warga Kementerian Pengajian Tinggi dan semua pemegang taruh berkaitan kementerian yang banyak membantunya melaksanakan tugas.

Selasa lalu, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah telah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli selepas mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti.

Dr Shamsul berkata, tumpuannya kini hanya fokus kepada tugas sebagai Ahli Parlimen Lenggong dan membantu memperkuat parti dalam menghadapi situasi politik yang semakin mencabar. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply