Home Pertahanan dan Keselamatan 15 nelayan Vietnam dicekup, rompak hasil laut negara

15 nelayan Vietnam dicekup, rompak hasil laut negara

by Nurulhuda

MIRI, 6 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Miri telah menahan sebuah bot nelayan asing yang disyaki sedang merompak hasil laut di perairan negara pada jarak lebih kurang 32.6 batu nautika dari barat daya Sungai Miri, pada Rabu.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md. Fauzi Othman berkata, tangkapan tersebut adalah hasil aduan komuniti nelayan tempatan mengenai aktiviti pencerobohan nelayan asing Vietnam di beberapa lokasi di perairan Sarawak.

“Bot APMM yang sedang melaksanakan tugasan Operasi Permai telah mengesan sebuah bot nelayan yang mencurigakan di sekitar perairan Miri,

“Berdasarkan struktur fizikal, bot tersebut disyaki bot nelayan asing Vietnam. Kilat 42 bertindak merapat untuk memintas serta menahan dengan mengambil masa lebih kurang 20 minit dan berjaya menghimpit bot berkenaan yang sedang leka menangkap ikan tanpa menyedari kehadiran pihak berkuasa,

“Hasil pemeriksaan dan geledah mendapati bot tersebut tidak memiliki sebarang dokumen atau kebenaran untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bot tersebut dikendalikan oleh 15 kru termasuk tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 18 hingga 64 tahun.

“14 orang kru gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri, manakala salah seorang daripada kru mengemukakan dokumen pengenalan diri yang meragukan, berikutan tiada pengesahan kemasukan ke Malaysia yang sah semasa diperiksa oleh penguat kuasa,

Md. Fauzi berkata, bot bersama 15 kru termasuk tekong, peralatan menangkap ikan, bekalan diesel lebih kurang 1,000 liter serta hasil tangkapan yang dianggarkan sekitar 2 tan metrik ikan campur dirampas serta diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63,” tambahnya. -airtimes,my

 

 

Related Articles

Leave a Reply