Home Semasa PSM: Fokus tambah bekalan oksigen ke hospital, hentikan pembinaan kondo mewah

PSM: Fokus tambah bekalan oksigen ke hospital, hentikan pembinaan kondo mewah

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Aktiviti permbinaan kondo mewah, lebuh raya dan pusat membeli-belah perlu dihentikan bagi memberi ruang bekalan oksigen untuk kegunaan hospital.

Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Sharan Raj menjelaskan langkah itu perlu memandangkan berlakunya isu kekurangan bekalan oksigen di hospital.

“Tapak binaan menggunakan oksigen untuk melakukan kerja kimpalan dan pemotongan logam,

“Putrajaya mesti menutup operasi tapak binaan bagi mengelakkan persaingan bekalan oksigen dengan hospital,” kata Sharan dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, bekalan oksigen untuk perkhidmatan kritikal seperti perubatan, agensi keselamatan dan penyelamat sepatutnya tidak terganggu.

Menurutnya, pasukan beruniform seperti Bomba dan Jabatan Pertahanan Awam  menggunakan bekalan oksigen industri bagi melakukan kerja-kerja menyelamat.

‘Salurkan silinder oksigen untuk kegunaan hospital’

Sharan yang juga Setiausaha Negeri PSM Melaka turut mencadangkan silinder oksigen industri di tapak binaan dibersihkan untuk digunakan di hospital.

“Silinder oksigen tersebut boleh dikumpul dan dibersihkan bagi mencapai standard bekalan oksigen untuk kegunaan perubatan,

“Pembersihan ini adalah perlu bagi membuang sebarang kotoran dan ia boleh dilakukan dalam masa beberapa jam,

“Penghasilan bekalan oksigen tulen yang banyak tidak akan berguna sekiranya bilangan silinder oksigen tidak mencukupi,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply