Home Politik PEJUANG junjung titah Agong, fokus kesihatan dan ekonomi negara

PEJUANG junjung titah Agong, fokus kesihatan dan ekonomi negara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mengambil pendirian untuk tidak mengulas mengenai perkembangan mutakhir yang dicetuskan oleh pelbagai pemimpin parti politik.

Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dalam kenyataan berkata, PEJUANG sentiasa menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar fokus perlu diberikan kepada krisis kesihatan dan ekonomi yang melanda akibat pandemik COVID-19.

Menurutnya, tindakan tersebut sememangnya hasrat oleh PEJUANG ketika mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negara dengan menggembleng tenaga pakar bagi memberi tumpuan menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“PEJUANG merafak sembah menjunjung kasih di atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong agar fokus perlu diberikan kepada krisis kesihatan dan ekonomi yang melanda rakyat sejak lebih 17 bulan ini akibat pandemik COVID-19,

“Berpaksikan semangat mendahulukan kepentingan rakyat, PEJUANG mengambil pendirian untuk tidak mengulas mengenai perkembangan mutakhir yang dicetuskan oleh pelbagai pemimpin parti politik,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan penarikan balik sokongan UMNO dari Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.

Beliau turut menyatakan Surat Akuan Bersumpah menarik balik sokongan UMNO kepada Muhyiddin telah dizahirkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply