KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia, Sharan Raj hari ini menegaskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengamalkan corak pemerintahan kuku besi.
“Kita melihat penyiasatan secara besar-besaran dilakukan oleh pihak polis terhadap penganjur dan peserta himpunan ‘Keluar dan #Lawan’,
“Malah, Ahli Parlimen turut disiasat berikutan perhimpunan pada pagi semalam,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Menurut beliau, Muhyiddin menggunakan polis untuk menentang sebarang kritikan terhadapnya.
“Tan Sri Muhyiddin sedang menjadi seorang diktator dengan menggunakan polis untuk siasat orang awam dan gerakan rakyat bagi mengekang kritikan terhadapnya,” tegas Sharan.
Beliau bersama Tian Chua dan 8 orang penganjur serta peserta himpunan ‘Keluar dan #Lawan’ hadir ke IPD Dang Wangi untuk memberi keterangan kepada pihak polis. – airtimes.my