Home Politik Sekat ke Parlimen, satu ancaman terhadap peranan kami selaku Ahli PAC – Wong Kah Woh

Sekat ke Parlimen, satu ancaman terhadap peranan kami selaku Ahli PAC – Wong Kah Woh

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Umum Parlimen (PAC), Wong Kah Woh meluahkan rasa kesal terhadap tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana gagal memberikan laluan kepada ahli-ahli PAC ke Parlimen.

Kah Woh berkata, pihak polis yang bertugas juga telah mengugut untuk menahannya sekiranya tidak beredar dari sekatan jalan raya (SJR) tersebut.

Beliau berkata, perkara yang sama juga berlaku ke atas beberapa ahli PAC yang turut berhadapan dengan SJR walaupun mempunyai surat panggilan ke mesyuarat tersebut yang ditandatangani oleh Setiausaha Dewan Rakyat.

“Dalam perjalanan saya ke bangunan Parlimen, saya telah memaklumkan anggota polis yang bertugas di SJR berkenaan dengan tugasan saya selaku Pengerusi PAC dan meminta supaya laluan diberikan tetapi tidak dibenarkan,

“Malah, anggota polis turut mengugut untuk menahan saya sekiranya saya tidak beredar dari tempat SJR dalam tempoh 2 minit,

“Walaupun pada akhirnya Ahli-ahli PAC diberikan laluan setelah campur tangan daripada Pengurusan Parlimen, tindakan sebegini adalah uncalled-for dan merupakan satu ancaman terhadap peranan kami selaku Ahli PAC,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tindakan tersebut bertentangan dengan usul yang memerintahkan Ketua Polis Negara menjaga laluan masuk dan keluar untuk Ahli-ahli Parlimen hadir ke sebarang mesyuarat di Parlimen yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada setiap pembukaan penggal, dan ia juga menyalahi Seksyen 124 Kanun Keseksaan.

Ahli Parlimen Ipoh Timur ini turut menegaskan, kehadirannya di Bangunan Parlimen adalah bertujuan untuk menghadiri Prosiding PAC dan surat pangilan mesyuarat berkenaan adalah bukti jelas dan nyata kepada anggota PDRM.

Anggota Polis dan FRU membuat kawalan di laluan masuk ke Jalan Parlimen pagi tadi. Foto: AirTimes

“Saya tidak dibenarkan masuk ke laluan menuju ke Parlimen dan diberikan 2 minit untuk keluar jika tidak, saya akan ditangkap,

“Itu merupakan satu ugutan yang amat tidak wajar, satu ugutan yang tidak mematuhi undang-undang. Saya selaku Pengerusi PAC Parlimen sampai disini pada jam 10.30 pagi kerana saya ada prosiding di Parlimen,

“Tidak ada sesiapa yang berhak untuk menghalang Ahli Parlimen daripada menjalankan tugas mereka. Adalah menjadi satu jenayah sekiranya mana-mana pihak menghalang Ahli Parlimen dari menjalankan tugas mereka,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Kah Woh menegaskan, prosiding tersebut merupakan prosiding keempat bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendengar penjelasan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai Perolehan Vaksin COVID-19 dan penggunaan terhadap rakyat Malaysia. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply