Home PolitikBarisan Nasional Muhyiddin berundur secara terhormat, angkat Ismail Sabri jadi Perdana Menteri

Muhyiddin berundur secara terhormat, angkat Ismail Sabri jadi Perdana Menteri

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 30 Jul – Pengerusi Sekretariat NGO Pemuda UMNO, Muhammad Faiz Hashim berkata, sudah masanya Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur secara terhormat dan memberi laluan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk diangkat menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata, Ismail Sabri yang juga Timbalan Perdana Menteri mampu membawa negara dan kerajaan ke arah yang lebih baik disamping menyelesaikan masalah COVID-19, ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat.

“Apa yang berlaku di dalam dewan Parlimen semalam cukup mendukacitakan. Pembatalan Darurat yang dibuat sebelum perkenan Baginda Tuanku Agong amat mencabar dan membelakangkan kuasa Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong,

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara apabila Dewan Parlimen yang mulia dipermain dan dikelirukan sehinggakan mencemarkan Institusi Istana dan Raja. Sidang Parlimen menjadi gawat dan kecoh sekali sehingga terpaksa ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kerajaan yang ada ketika ini perlu dikekalkan kerana belum sampai masanya lagi untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) atas faktor pandemik COVID-19.

“Majoriti rakyat belum bersedia untuk keluar mengundi memandangkan apa yang paling utama pada rakyat ketika ini adalah kelangsungan hidup dan sara hidup mereka yang perlu diberikan keutamaan. Rakyat begitu tertekan dan sangat susah ketika ini,

“Tukar kerajaan? Lagi lah tak masuk akal. UMNO sesekali tidak akan bekerjasama dengan DAP kerana agenda perjuangan parti masing-masing dah cukup ketara berbeza,” jelasnya.

Tambahnya, Ismail Sabri mempunyai pengalaman berada di dalam Kabinet sejak tahun 2008 hingga kini, sebagai Menteri Belia dan Sukan; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Menteri Pertahanan.

“Kreativiti dan kesungguhan yang ada pada Ismail Sabri dapat dilihat melalui kecemerlangan rekod kepimpinan dan kejayaannya mengemudi beberapa kementerian antaranya produk 1Malaysia semasa menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,

“Antara inisiatif terkenal yang dilaksanakannya ketika menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani termasuk, ‘jihad memerangi orang tengah’,”

Kata Muhammad Faiz, Ismail Sabri juga memperkenalkan inisiatif ‘MARA Digital’, supaya Bumiputera tidak ketinggalan dalam perniagaan dalam bidang teknologi komunikasi maklumat, ketika menggalas tugas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Jelas kreativiti, komitmen serta kebijaksanaan Ismail Sabri amat diperlukan ketika ini sebagai Perdana Menteri untuk mengemudi negara ke arah yang lebih baik untuk menyelesaikan pandemik COVID-19, ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat yang amat tertekan ketika ini,” ujarnya – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply