Home Semasa Tun M desak Muhyiddin, menteri Kabinet letak jawatan

Tun M desak Muhyiddin, menteri Kabinet letak jawatan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Jul – Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri Kabinet untuk meletak jawatan

Bekas Perdana Menteri itu turut mendakwa Muhyiddin telah membohongi Parlimen berkaitan pembatalan Ordinan Darurat.

Menurutnya, pengumuman tersebut dibuat seolah-olah Muhyiddin mempunyai kuasa membatalkan Ordinan Darurat, sedangkan kuasa mengenainya tertakluk pada Yang di-Pertuan (YDP) Agong.

“Kenyataan oleh Yang di-Pertuan Agong hari ini menunjukkan bahawa Tan Sri Mahiaddin Yassin (Muhyiddin) dengan sengaja menipu Parlimen berkenaan penarikan semula Ordinan-Ordinan Darurat,

“Dia (Muhyiddin) patut sedar yang dia tidak punyai kuasa untuk menarik Ordinan-Ordinan tersebut dengan sendiri. Namun pengumuman telah dibuat seolah dia punyai kuasa sedangkan kuasa itu sepatutnya berada di tangan YDP Agong semasa Darurat,

“Walaupun Muhyiddin tidak umum penarikan itu pada 26 Julai, pengumuman telah dibuat oleh Menteri Undang-Undang, Takiyuddin Hassan, Muhyiddin tidak boleh lepaskan diri dari tanggungjawab,

“Muhyiddin juga tidak membuat penjelasan pada hari-hari berikutnya. Muhyiddin dan anggota kabinet yang lain bertanggungjawab atas tindakan memalukan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen sedangkan perkara itu belum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.

Istana Negara dalam kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen pada 26 Julai lepas tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli Dewan Rakyat. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply