Home PolitikPakatan Harapan PH tak perlu jadi hero dalam isu doktor kontrak – Asyraf Wajdi

PH tak perlu jadi hero dalam isu doktor kontrak – Asyraf Wajdi

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 28 Jul – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pakatan Harapan (PH) tiada legitimasi untuk menjadi ‘hero’ dan bercakap seolah-olah merekalah yang berhak memperjuangkan isu doktor kontrak.

Beliau berkata, PH jadi hero bercakap, sedangkan merekalah yang memasyhurkan Dasar Pengurangan Penjawat Awam ketika mula memerintah pada 2018.

“Bukan itu sahaja, mereka juga yang memberhentikan ramai pekerja-pekerja sektor awam berstatus kontrak selain menarik balik elaun kritikal Pegawai Perubahan,

“Ini merupakan sebahagian perjuangan DAP-PH yang secara konsisten sebelum menjadi kerajaan mendakwa kerajaan terlalu dibebankan dengan jumlah penjawat awam yang ramai,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.

Menurut Asyraf, sebab itulah pada 11 Mac 2020, salah satu daripada 6 pra-syarat yang diletakkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri waktu itu ialah supaya kerajaan baharu pimpinan beliau mestilah membekukan Dasar Pengurangan Penjawat Awam dan pembuangan pekerja-pekerja kontrak di sektor awam.

“Termasuklah tuntutan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, pendakwaan pembunuh arwah Adib, pembatalan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), pemberhentian jualan aset-aset strategik negara, membuka semula kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan pemimpin PH yang ditutup atau ditarik balik,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply