Home Pertahanan dan Keselamatan 4 bot nelayan Vietnam ditenggelam jadi tukun tiruan di Pulau Redang

4 bot nelayan Vietnam ditenggelam jadi tukun tiruan di Pulau Redang

by Nurulhuda

KUALA TERENGGANU, 28 Jul – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Terengganu telah melupuskan 4 bot nelayan Vietnam yang dilucut hak secara penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan berhampiran Pulau Redang.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Datuk Saiful Lizan berkata, bot-bot ini telah ditahan melalui Operasi Kuda Laut yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas oleh KM TOK BALI, KM TEGAS dan KM GEMIA yang melibatkan 53 kru termasuk tekong.

Beliau berkata, kesemua bot tersebut adalah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan serta dilucut hak oleh mahkamah sepanjang tahun 2020 atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.

“Pelupusan 4 bot ini sebagai tukun tiruan merupakan tindakan tegas APMM memerangi pencerobohan bot nelayan asing terutamanya dari Vietnam,

“Jumlah denda mahkamah bagi keempat-empat bot ini membabitkan denda keseluruhan RM4.1 juta,” katanya dalam kenyataan pada Selasa, hari ini.

Menurut Saiful Lizan, aktiviti ini merupakan pelupusan kali ke-13 dalam tahun 2021 oleh APMM Terengganu dan dijangkakan sebanyak 38 bot lagi bakal ditenggelamkan setelah mendapat pelucutan hak daripada mahkamah.

Tambahnya, sehingga kini pihaknya telah menenggelamkan sejumlah 108 bot di sepanjang perairan Terengganu dengan anggaran nilai RM162 juta.

“Kaedah penenggelaman sebagai tukun merupakan satu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin serta simbolik kepada keseriusan APMM mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram,

“Program pelupusan bot ini turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Taman Laut serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT),” ujarnya.

Saiful Lizan berkata, pihaknya akan terus melaksanakan rondaan untuk mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan juga aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang di sekitar perairan negara.

“Masyarakat terutama komuniti maritim diseru untuk melaporkan sebarang maklumat perlakuan melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara kepada pasukan keselamatan,” jelasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply