Home Semasa 438 individu dikenakan kompaun, 27 direman ingkar SOP PKP

438 individu dikenakan kompaun, 27 direman ingkar SOP PKP

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Jul – Seramai 438 individu dikompaun atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, daripada jumlah itu seramai 27 individu telah direman.

Beliau yang baru mengalas tugas harian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga berkata, sebanyak 60 premis meliputi 12 buah kilang, premis perniagaan (40), tapak pembinaan (8) diarahkan tutup serta merta ekoran kegagalan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

Mengenai kawalan sempadan negara pula, Hishammuddin menjelaskan, seramai 14 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan dan 4 buah kenderaan darat turut dirampas semalam dalam Operasi Benteng (Op Benteng).

“Op Benteng yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi lain telah melakukan 890 sekatan jalan raya (SJR), pada Isnin.

“Operasi Penawar dan SJR PKP telah melaksanakan sebanyak 836 SJR,

“Manakala, Op Benteng yang melibatkan PDRM, ATM dan RELA pula telah melaksanakan sebanyak 45 SJR serta AKSEM (9) SJR,” jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply