Home Semasa 7 ahli JKMR baharu dilantik, Rais Yatim sebagai Pengerusi

7 ahli JKMR baharu dilantik, Rais Yatim sebagai Pengerusi

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 26 Jul – Seramai 7 ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang baharu untuk tempoh 3 tahun berkuat kuasa mulai 15 Julai 2021 hingga 14 Julai 2024.

Keanggotaan JKMR terdiri daripada Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim dilantik sebagai Pengerusi.

Turut dilantik, Senator Ir Md Nasir Hashim; Senator Idris Ahmad; Senator Zaiedi Suhaili; Senator Raj Munni Sabu; Wong Hon Wai dan Hassan Abdul Karim.

Rais dalam kenyataan berkata, pelantikan JKMR ini merentasi sempadan parti juga merupakan suatu manifestasi kepada komitmen berterusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan untuk membasmi rasuah.

“JKMR menjunjung kasih kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Peryuan Agong kerana perkenan melantik ahli JKMR baharu sebagaimana jawatankuasa ini diwujudkan secara perundangan mengikut Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694),” katanya.

Beliau berkata, JKMR adalah bertanggungjawab untuk menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek masalah rasuah di Malaysia dan memeriksa laporan tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jawatankuasa khas ini juga berperanan memeriksa ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah serta mendapatkan penjelasan dan penerangan mengenai laporan tahunan SPRM,

“Selaras dengan Seksyen 14(5), JKMR juga akan bertanggungjawab menyediakan laporan tahunan mengenai fungsinya kepada Perdana Menteri yang kemudian akan membentangkan laporan tahunan tersebut di Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply