Home Semasa 3 wakil pembangkang dijemput sertai Majlis Pemulihan Negara – Muhyiddin

3 wakil pembangkang dijemput sertai Majlis Pemulihan Negara – Muhyiddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Jul – Kerajaan akan turut melibatkan 3 wakil pembangkang daripada parti Pakatan Harapan (PH), Warisan dan PEJUANG untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penglibatan itu bagi memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin pembangkang berkongsi pandangan dan nasihat dalam aspek pelan pemulihan berkenaan.

“Bagi memastikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan seperti dirancang dan dipantau dengan teliti, Menteri Kewangan telah dilantik sebagai Menteri Penyelaras PPN,

“Kerajaan juga telah menubuhkan Majlis Pemulihan Negara dengan penyertaan wakil-wakil dari sektor swasta, pakar industri, NGO dan wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak. Saya sendiri telah mempengerusikan mesyuarat pertama MPN ini pada 23 Julai lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika penerangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam Sidang Khas Parlimen, hari ini.

Pada masa yang sama, Muhyiddin juga mengumumkan mengenai pelaksanaan PPN sebagai sebuah pelan pemulihan yang menumpukan kepada strategi untuk keluar dari ancaman COVID-19 secara selamat dan sistematik.

Fasa-fasa yang digariskan adalah tertumpu kepada usaha untuk meringankan beban ke atas kapasiti sistem kesihatan awam, membuka semula sektor ekonomi dan membenarkan aktiviti sosial dalam tempoh masa 6 bulan sehingga akhir tahun ini.

Muhyiddin menegaskan, PPN bersifat dinamik dan bersesuaian, iaitu sebuah pelan yang sentiasa dikemas kini, relevan serta berlandaskan sains, penilaian indikator serta bukti empiral dan tidak sekadar andaian semata-mata. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply