Home Pertahanan dan Keselamatan Lagi kapal tangki Panama ditahan, bersauh secara haram

Lagi kapal tangki Panama ditahan, bersauh secara haram

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 24 Jul – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor menerusi Operasi Jangkar Haram telah menahan sebuah kapal tangki yang disyaki bersauh secara haram di perairan Johor Timur, pada Jumaat.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki yang berdaftar dari Panama itu telah ditahan di kedudukan 14.6 batu nautika timur laut Tanjung Kelesa, Johor.

Beliau berkata, penahanan tersebut telah dilakukan oleh bot ronda APMM yang sedang melaksanakan penguatkuasaan di perairan Johor Timur.

“Kapal tangki itu dikendalikan 9 kru warga Indonesia, berusia antara 24 hingga 49 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,

“Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kapal berserta kesemua kru telah ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Nakhoda dan kapal tangki terbabit dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili bagi siasatan lanjut,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Nurul Hizam rurut menyeru orang ramai untuk melaporkan sebarang salah laku jenayah maritim di laut kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Johor untuk memastikan perairan negara terpelihara. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply